Sunday, August 24, 2008

Anwar dan Mat Jenin Putrajaya

SURAT PEMBACA
24 Ogos 2008


KEPADA masyarakat bukan Melayu , Anwar membawa mesej bahawa agenda pembangunan ekonomi tidak lagi berteraskan konsep Dasar Ekonomi Baru. Ini termasuk menyokong cadangan Menteri Besar Selangor untuk menetapkan kouta kemasukan pelajar bukan Melayu sebanyak 10 peratus di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berdepan dengan masyarakat India, Anwar terus menyuarakan keprihatinannya terhadap kegiatan kumpulan haram Barisan Pembebasan Hak Hindu atau HINDRAF.
Bila berdepan dengan kemarahan orang Melayu apabila kurang memberikan tumpuan menyelesaikan peminggiran dan hakisan dominasi pengundi terbesar itu, Anwar mula membuat janji yang terlalu berbentuk sloganistik. Menerusi papan iklan di kawasan majoriti pengundi Melayu, terpapar tulisan Kami komited untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu yang miskin dan terpinggir?
Apakah janji ini mampu memberikan kemenangan kepada Anwar yang semakin terdesak untuk mendominasi Putrajaya? Setelah mengisytiharkan tarikh 16 September 2008 sebagai sasarannya, Anwar terus membuat perhitungan dan percaturan politik.
Antara percaturan yang diusahakan ialah memancing seramai mungkin ahli parlimen BN menganggotai PKR. Dalam perkiraannya, jika 30 orang ahli parlimen yang kurang senang dengan pencapaian dan perlantikan jawatan dalam pentadbiran kerajaan, PKR mampu menguasai Dewan Rakyat melalui majoriti mudah.
Teori lain yang dibentuk ialah melancarkan propaganda mengenai konspirasi untuk menamatkan karier politiknya. Apabila Saiful Bahari, “bekas pegawai khas kepada pegawai khasnya,” membuat laporan polis telah diliwati oleh majikannya, Anwar memprojekkan dirinya sebagai “mangsa tuduhan.”
Setelah Saiful Bahri membuat sumpah bagi membuktikan kebenaran dakwaannya, Anwar sekali lagi mencari helah, termasuk menuduh bahawa peristiwa itu didalangi oleh UMNO dan polis.
Teori lain yang dipopularkan oleh Anwar ialah kegagalan Kerajaan untuk membendung kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Dengan mendakwa bahawa “hari ini membentuk kerajaan, esok harga minyak akan turun.” Semasa berdebat dengan Menteri Penerangan pada 15 Julai 2008, Anwar bertekad untuk menurunkan harga minyak (petrol) sebanyak RM 0.50 seliter.
Ketika perdebatan itu, harga minyak global mencecah USD$142 setong dan dalam kempen di Permatang Pauh, bertekad untuk menurunkan harga sebanyak RM 0.70 seliter. Semasa berucap di Bukit Jelutong pada malam 18 Ogos 2008, selepas tiga bulan memerintah, harga minyak akan diturunkan lagi.
Sepanjang kempennya di Permatang Pauh, beberapa penulis politik yang menyokong perjuangan Anwar membuka kiosk menjaja tulisan-tulisan yang optimistik terhadap cita-cita besar itu. Antara yang dijual ialah buku 51 Dalil Anwar Jadi PM, yang ditulis oleh Elias Haji Idris.
Elias Haji Idris yang mula merakamkan sokongan kepada Anwar melalui karya kreatif pada tahun 2001. Kemudian pada tahun 2008 menulis dua buah buku politik, iaitu Siapa PM Selepas Ini dan terbaru ialah 51 Dalil Anwar Jadi PM.
Apakah dalil-dalil yang dikemukakan oleh Elias, yang pernah menghangatkan persada penulisan kreatif melalui novel-novel popularnya Kehilangan (1993), Pilihan Kedua (1994), Bunga Bukan Semusim (1995), Kembang Tak Jadi (2007) dan Gadis Terbuang (2008) boleh membentuk keyakinan dan persepsi pembacanya? Ternyata Eliasn telah kehilangan sengat kreativiti dan tak cukup ramuan bukti, umpama menikmati ikan bakar tanpa air asam asli Pulau Pinang.
Anwar dianggap sebagai tokoh Islam yang berwibawa. Kewibawaan Anwar boleh terima pada peringkat awal, terutamanya sebelum terlibat dengan pertubuhan siasah. Ketika itu Anwar tidak mempunyai kuasa, tetapi bila mula memegang kuasa sikap dan perlakuan telah berubah melebihi sesetengah pemimpin yang tidak menampilkan dirinya sebagai berlatar belakangkan perjuangan Islam.
Apakah benar Mahathir terpaksa berpaut kepada Anwar bagi membendung kemaraan semangat kebangkitan semula Islam selepas Revolusi Iran pada tahun 1975? Gerakan Islam telah menjadi sebagai satu kekuatan dan momentum baru apabila Haji Hadi Awang mempromosikan label kafir kepada ahli-ahli UMNO dan mereka yang tidak sehaluan dengan perjuangan PAS.
ABIM yang dipimpin dan diasaskan oleh Anwar mempolitikkan peminggiran feudalisme dan kapitalisme ketika itu mula melakarkan perubahan pendekatan apabila menyertai UMNO. Berdasarkan surat-surat lama dan detik awal kemasukannya ke dalam UMNO, jelas membuktikan tekadnya menyimpang jauh. Anwar terus memperkukuhkan dirinya dalam institusi feudalisme dan kaptilasme, termasuk meluluskan lebih banyak lesen judi dan jualan nombor ekor.
Benarkah Anwar merupakan orang teguh pendirian dan istiqamah dalam perjuangan? Memang benar Anwar seorang tegas dan tidak mudah mengalah, tetapi dalam beberapa hal ikut terpengaruh dengan perangkap kaum orientalis.
Melalui penglibatannya dengan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, beliau turut mengimport beberapa orang ilmuan Islam untuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa. Melantik Dr. Hamed Sulayaman sebagai reaktor UIA dan ketika Anwar digugurkan dalam tampok kuasa politik, tokoh itu melarikan diri.
Selepas dibebaskan Anwar meraikan perpisahan tersebut pada 23 Mei 2008 bersama seorang lagi rakan karibnya, iaitu Dr. Jamal Barzinji. Dr. Hamed Sulayaman amat dibenci oleh rakyat Arab Saudi, Pakistan, India dan Afrika Selatan atas pemekaran Islam Protestan atau Islam Reformis yang dipengaruhi oleh orientalis Amerika Syarikat.
Selain Dr. Hamed, Anwar turut memberikan peluang kepada Prof. Hassan Ibrahim sebagai Ketua Jabatan Sejarah di UIAM. Hassan ialah salah seorang penentang rejim Islam di Khartoum dan pernah dipecat sebagai dekan di Universiti Khartoum atas masalah disiplin . Semasa berkhidmat di UIAM, kedua-dua tokoh tersebut hidup dalam gaya mewah dan dikatakan dibiayai oleh ahli-ahli perniagaan dari Arab Saudi dan Kuwait yang terbabit dengan pelbagai skandal politik antarabangsa yang didalangi oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.
Mempunyai hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh Islam Liberal Indonesia, termasuk Amein Rais (tokoh reformasi Indonesia), Gus Dur (bekas Presiden Indonesia yang sentiasa dipimpin dan menghabiskan wang rakyat sebanyak US174 juta membuat lawatan ke luar negara dalam keadaan rakyat dibelenggu kegisahan ekonomi), dan orientalis John L Esposito dan John O Voll, yang merupakan anak buah kepada Prof. Ismail Faruqi.
Prof Ismail Faruqi dan isterinya mati dibunuh oleh Yusuf Ali (Joseph L Young), seorang pemuda Islam kulit hitam pada 27 Mei 1986. Yusuf amat kecewa dengan sikap dan tingkahlaku Prof Ismail yang telah menjatuhkan imej Islam melalui pembabitan budaya homoseksual di kalangan pelajar Universiti Temple, Philadelphia.
Dalam keterangannya, Yusuf mendakwa Prof Ismail pernah beberapa kali memaksa beberapa orang pelajar Islam dari Malaysia mengadakan kegiatan homoseks jika berhajat mendapatkan biasiswa. Laporan perbicaraan tersebut pernah disiarkan oleh New Straits Times pada 1 Ogos 1987.
Anwar dipenjarakan kerana didapati bersalah menyalahgunakan kuasa semasa berada dalam kuasa politik. Penyalahgunaan kuasa inilah menyebabkan imejnya tercalar dan tidak lagi dianggap sebagai pejuang Islam tulen. Hakisan pesona imej Anwar seterusnya meningkat apabila mengajak Al-Gore menyertai reformasi jalanan menentang keputusan pemecatannya.
Slogan di Permatang Pauh, Anwar tetap berlawan. Bujur Lalu Melintang Patah, kerana inilah peluang yang ada baginya untuk menentukan masa depan PKR dan karier politiknya sendiri. Mungkin akan kecundang jika bertanding di kawasan lain, termasuk Kulim Bandar Baru (yang diumumkan sebelum perletakan jawatan oleh isterinya pada akhir Julai lalu) atau Bandar Tun Razak kerana tidak mempunyai hubungan peribadi dengan pengundi.
Penipuan Anwar menjadi semakin berleluasa setelah dipecat. Semasa penahanan awalnya, Wan Azizah melaporkan bahawa suaminya akan mati secara beransur-ansur dalam penjara kerana telah diberikan racun arsenik, disuntik virus HIV dan tanpa berita selama sembilan hari. Dalam tempoh tersebut, Wan Azizah terus mempertahankan suaminya dengan pelbagai hujah yang bersifat apologetik.
Menurut pendapat Ahmad Wahib (1942-1973), seorang pejuang Islam Liberal Indonesia, ciri-ciri apologetik ialah:
Kalau merasa diserang, yang bersangkutan akan menangkis atau membela diri. Kedua, kalau merasa akan diserang, yang bersangkuitan akan mencipta alasan terlebih dahulu. Ketiga, ada kecenderungan membangkitkan kembali hal-hal yang lama. Keempat, selalu mengangung-angungkan kejayaan masa lampau. Dan, kelima, normatif”, Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian Ahmad Wahib, P.Jaya: Middle Eastern Graduates Centre Sdn. Bhd.(MEGG), 2007, halaman 53.
Kerana itulah apala menghadapi dakwaan, Anwar akan mencipta alasan tertentu bagi memindahkan tuduhan terhadapnya. Ini dapat dilihat bagaimana Anwar memerangkap persepsi masyarakat mengenai dakwaan dan sumpahan pengakuan Saiful diliwat. Perkara yang sama dilakukan berkali-kali apabila dipecat oleh Dr. Mahathir dengan mendakwa telah berlaku konspirasi menamatkan karier politiknya.
Apabila menghadapi sesuatu tuduhan, Anwar dengan tangkasnya memindahkan isu tersebut dengan mengaitkan peristiwa silam yang dialami oleh mereka yang menuduhnya. Apabila Ezam keluar PKR dan kembali ke pangkuan UMNO atas alasan kecewa, dituduh sebagai “pengkhianat.” Ketika Chandra Muzafar mengulas mengenai sikap politik, Anwar membidas bahawa ia tidak relevan dengan perjuangan PKR.
Semasa melanggar peraturan mengadakan perhimpunan jalanan dan reformasi, Anwar menuduh bahawa Dr. Mahathir sebagai seorang pemimpin yang amat berkuasa dan diktator. Inilah sikap dan perangai Anwar, apabila mengulas mengenai penstrukturan semula subsidi, berbangga dengan keputusan menaikkan harga minyak yang dilakukan semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan.
Anwar tidak merungkaikan, kenaikan yang rendah dilakukannya itu kerana harga minyak global tidak melonjak begitu tinggi. Permintaan penggunaan minyak global tidaklah setinggi sekarang kerana pada masa itu, China masih belum membuka pintu ekonominya. India sedang menyusun langkah dan memulakan usaha membuka pasaran kepada pelaburan asing.
Sebenarnya, Anwar sedang menjalani hukum karma yang ditentukan olehnya sendiri. Hakisan pesona kepimpinannya disebabkan politik harakiri yang dilaksanakan secara gelojoh dan kurang sabar. Meroket mendaki kuasa politik dan dengan hanya mengambil masa selama 16 tahun, menduduki di tangga kedua tertinggi. Akhirnya telah ditakdirkan hanyalah setakat itu. Itulah ketentuan Illahi.
Setiap orang Islam percaya dan yakin, rezeki, maut dan kehidupan akan ditentukan oleh Allah SWT. Walaupun sebijak mana kita merancang, gigih dan bijak mencari peluang, berkesan memujuk dan membangkitkan kepercayaan orang lain, jika Allah SWT tidak merestuinya, akan gagal dan kecundang jua akhirnya.
Mungkinkah kerana terlalu yakin akan menang di Permatang Pauh dan bakal menerajui Putrajaya, Allah SWT tidak merstuinya atas alasan takbur, dan benci kerana terlalu banyak hamburan kata-kata kesat terhadap orang lain, serta mencipta bidaah. Menidakkan kebaikan orang lain adalah satu sikap melampau, dan sesungguhnya Allah SWT amat membenci perlakuan itu.
Jika itu berlaku, mungkinkah Anwar akan kempunan lagi. Mungkinkah Anwar hanya sekadar berangan-angan sebagaimana Mat Jenin? Hanya Allah SWT yang akan menentukan sejauh manakah Anwar mampu menapak sombong membumbungkan impian ke Putrajaya.
Elias tidak mampu menentukan walaupun mengemukakan 51 dalil yang kurang menyengat. Dalil-dalilnya terlalu mudah dan condong kepada Anwar, kerana mungkin beliau merupakan pengagum utama perjuangan PKR? - SUKRI AB.MANAN (malaysiaaktif.com)

No comments: