Tuesday, August 19, 2008

Pilihan raya kecil, hati panas

petikan :http://malaysiafm.blogspot.com/

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengambil tindakan tegas terhadap ahlinya yang membelasah dua jurugambar pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Sabtu lalu. Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata demikian ketika ditemui pemberita Berita Harian di lobi Parlimen hari ini. Pihaknya kini sedang menjalankan siasatan untuk mendapatkan bukti pihak yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Menurut akhbar harian ini juga, polis memberi jaminan akan membuat pemantauan berterusan bagi mengelak berulangnya kejadian tidak diingini sepanjang kempen pilihan raya kecil itu. Jaminan itu diberi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menyifatkan tindakan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang dua jurugambar itu sebagai amat memalukan. Perdana Menteri berkata, semua pihak patut menggunakan proses demokrasi dengan cara yang betul untuk berkempen bagi memilih wakil masing-masing ke Parlimen.

"Bertindak liar, ganas dan mencederakan seseorang itu adalah satu kesalahan jenayah dan pihak terbabit patut dikenakan tindakan," kataTimbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jawatankuasa dan pegawai masjid serta pemimpin masyarakat Cina Parlimen Permatang Pauh di Seberang Jaya dekat sini, semalam.

Dalam kejadian berdekatan pusat penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun itu, jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Mohd Sairien Nafis, 26, cedera di pinggang, manakala kameranya bernilai kira-kira RM15,000 dirampas penyokong PKR. Turut diserang dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu ialah jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar. Abdullah berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan tidak bertindak sesuka hati.

"Kalau berlaku macam itu, ia menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan nak harapkan orang seperti ini membantu memenangkan calon mereka. Ini tidak wajar sebenarnya," kata PM.

PM menegaskan, walaupun rakyat diberi kebebasan memilih wakil mereka, ia ada had dan bukan dengan mengadakan demonstrasi. "Inikah demokrasi yang dikatakan oleh pihak Barat, mesti ada demonstrasi untuk menuntut kebebasan, seolah-olah negara ini tidak ada kebebasan. "Surat khabar macam-macam tulis dan mengata kita dan internet juga, tetapi orang kata masih tidak bebas lagi. Nak bebas macam mana, saya pun hairan apa kebebasan yang dituntut sekarang. Mana boleh kebebasan yang tiada had dalam dunia ini," katanya.

Walau bagaimanapun keadaan di Permatang Pauh masih selamat dan terkawal. Demikian laporan BH 18.8.08.

Sebagai pengundi yang bijak, perlulah berfikir masak-masak tentang perkara ini sebelum mengundi. Sikap bongkak, ganas, kaki lawan, tidak berdisiplin, pelampau dan sebagainya telah wujud di kalangan yang berangan-berangan untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara ini.

No comments: