Sunday, August 17, 2008

Mubahalah: Langkah politik terbaik buat Anwar

Maulana Arrif
17 Ogos 2008


NAMPAK gayanya sudah pastilah Anwar Ibrahim tidak akan meyahut cabaran Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya bersumpah untuk membuktikan beliau tidak pernah meliwat bekas pembantunya itu.

Ketika berucap pada ceramah kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh di Taman Cermai malam tadi, Penasihat PKR itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan bersumpah berhubung tuduhan liwat terhadapnya kerana bimbang sumpahnya akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.

"Nak bukti apa lagi. Laporan dah keluar. Tiada liwat. Ini dia (Saiful) pula nak sumpah. Kes ini tidak ke mana. Sebab itu dia tahu kes ini tidak ke mana, jadi dia malukan saya dan aibkan saya semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya.

"Dulu saya dituduh meliwat dan saya yang dipenjarakan," katanya.

Penulis kurang faham apa yang Anwar maksudkan dengan maksud ``akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.’’ Bagi penulis, jika Anwar masih enggan bersumpah, keengganan itu sendiri akan dibaca oleh kebanyakan orang (kecuali Haji Hadi Awang dan kumpulan fanatik Anwar dalam PKR) sebagai takut untuk bersumpah.

Tidakkah keenganan bersumpah itu sendiri menjadi bahan manipulasi tanpa perlu dimanipulasi oleh sesiapa pun.

Ketika ini kebanyakan orang berpendapat apa susahnya untuk bersumpah. Yang susahnya ialah jika orang yang bersumpah itu berbohong. Susah untuk bersumpah kerana ia akan menyebabkan si pembohong akan dilaknati Allah di dunia, apatah lagi di akhirat.

Jika Anwar tetap dengan pendiriannya untuk tidak menyahur cabaran Saiful, maka dengan mudah umum akan membuat kesimpulan bahawa beliau takut berbohong. Takut dilaknati.

Sebaliknya jika beliau bersumpah, tiada lagi sebarang keraguan terhadap dirinya. Beliau boleh pejam mata dan tidur lena sekalipun hari mengundi 26 Ogos semakin hampir. Tidak perlu bersengkang mata kurang tidur kerana berceramah hingga lewat malam setiap hari di sana sini.

Dan tidak perlu orang seperti Haji Hadi Awang mengeluarkan `fatwa politik’ yang turut menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan ahli-ahli parti Pas sendiri.

Jika orang lain yang enggan bersumpah, itu tidak menjadi isu besar. Tapi Anwar telah mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri yang menunggu tarikh 16 September untuk menduduki kerusi jawatan itu di Putrajaya.

Tidak cukup hanya sekadar berkata ``tiada bukti’’ sedangkan perbicaraan kes dakwaan Saiful hanya akan bermula pada 10 September akan datang.

Saiful berhak untuk membuat perakuan bersumpah kerana beliau berhadapan dengan pelbagai manipulasi politik yang datangnya daripada Anwar sendiri. Anwar tidak menunggu perbicaraan di mahkamah jenayah, sebaliknya telah membuat aduan qazaf (memfitnah) terhadap Saiful di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Anwar juga secara terbuka menuduh Saiful sengaja memfitnahnya sebagai satu konspirasi politik yang melibatkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Kes ini telah pun dibicarakan lebih awal oleh media siber pro-Anwar sebelum perbicaraan di mahkamah bermula.

Ini amat tidak adil bagi Saiful. Mengikut hukum agama dan undang-undang, setiap orang yang dituduh adalah tidak bersalah sehingga dia dibicarakan dan mahkamah membuat keputusan.

Disebabkan Anwar membuat tuduhan balas terhadap Saiful dan `mahkamah media siber pro-Anwar’ telah memutuskan Saiful berbohong, maka beliau berada dalam keadaan tertekan sehingga terdorong untuk bersumpah dengan Quran.

Bukan boleh main-main untuk bersumpah dengan melafazkan nama Allah. Tentu dia amat memahami akibatnya.

Perbicaraan di mahkamah pula bukanlah satu jaminan bahawa keputusan perbicaraan adalah tepat. Ada kalanya kes dibuang dan memihak kepada yang dituduh atas sebab-sebab teknikal. Ada kalanya hakim membuat keputusan yang tidak tepat atas unsur-unsur tidak adil dan sebagainya.

Anwar cuba menggambarkan dari awal bahawa kes ini hanyalah konspirasi politik untuk menyekatnya daripada menjadi Perdana Menteri. Oleh kerana beliau melihat bahawa implikasi kes ini adalah terhadap masa depan politiknya, apa salah beliau bersumpah.

Cara yang terbaik untuk beliau membersihkan dirinya daripada sebarang keraguan orang ramai terhadapnya ketika ini ialah dengan bermubahalah sebagaimana yang Saiful lakukan. Jangan biarkan fitnah memfitnah berlarutan.

Jika tidak, keraguan terhadap seorang yang telah mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri Menunggu akan semakin menebal. Malah keraguan ini sama sekali tidak melayakkan dirinya untuk menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, apatah lagi Perdana Menteri Malaysia.

Ada kalangan penyokong Anwar berhujah, adakah kes di mahkamah akan digugurkan jika beliau bersumpah? Ini adalah satu perkara lain yang kurang penting dari sudut keimanan.

Pada ketika ini, jika Anwar bersumpah, sudah pastilah masyarakat umum terutama umat Islam akan melihat beliau seorang yang `bersih.’ Jika politik menjadi persoalan, maka mubahalah itu sendiri menjadi jaminan masa depan politiknya.

Sekalipun perbicaraan kes Saiful tetap berjalan, orang ramai akan melihat bahawa Anwar benar-benar menjadi mangsa konspirasi dan fitnah jika beliau didapati bersalah setelah bersumpah. Ini akan memperkukuh kedudukan politiknya dan melemahkan pihak kerajaan BN.

Lagi pun sebagai orang Islam dan beriman, kita hendaklah lebih takutkan mahkamah akhirat daripada mahkamah dunia. Bukankah Allah berfirman: `` Orang-orang yang beriman tidak takut kepada jua pun kecuali Allah.’’

Nabi Yusof pernah dipenjara kerana fitnah tapi akhirnya beliau dibebaskan dan menjadi Wazir (Perdana Menteri). Kisah ini ada dalam Quran. Allah akan sentiasa memberikan kemenangan kepada orang beriman, yang takutkan-Nya, bukannya takut tidak dapat jadi Perdana Menteri. – malaysiaaktif.com

No comments: